Jurufoto Wanita

Usianya masih muda, namun wanita ini sanggup mengorbankan masa bergembira seperti generasi muda lain untuk memastikan perniagaannya berjalan lancar tanpa mengharapkan bantuan mana-mana institusi kewangan.

image
Photo: Harian Metro

 

Nurul Huda Jamal Nasir atau lebih dikenali sebagai Huda Jamal, 32, mula menjalankan perniagaan studio fotografi sejak 2014 dan kini pemilik Ladiesfoto Studio.

Bermula sebagai jurufoto perkahwinan bebas pada 2008 secara sambilan saja, tanpa diduga jurufoto wanita menjadi pilihan bagi sesetengah pasangan pengantin ketika itu.

“Disebabkan sambutan yang menggalakkan, saya menjalankan perniagaan secara sepenuh masa pada 2010. Kemudian, dua tahun selepas itu saya mendirikan rumah tangga bersama suami, Faizal Mohamad Nasir yang sangat meminati bidang fotografi. Dia mencadangkan saya membuka studio sendiri di kawasan perumahan kami di Damansara Damai pada 2014,” katanya.
Ibu kepada seorang cahaya mata lelaki ini berkata, hampir tujuh tahun dalam bidang fotografi, dia akhirnya menubuhkan studio fotografi berkonsepkan rumah yang cukup selesa dan semua jurufoto yang bergabung dengannya terdiri daripada wanita, sesuai untuk pelanggan wanita atau mereka yang mementingkan privasi.

“Penubuhan studio ini kerjasama antara saya dan suami. Kami mempunyai personaliti, fikiran dan gaya hidup yang sangat berbeza tetapi perbezaan ini kombinasi yang melengkapi antara satu sama lain.

“Suami menjadi pendorong terhebat dalam hidup saya. Pada permulaannya, sambutan agak kurang memberangsangkan atas beberapa faktor, namun atas dorongan, usaha kami mengikuti kelas keusahawanan, dan langkah kami menukar logistik studio ke bangunan Sunway Nexis, Kota Damansara, kini Ladiesfoto Studio berjaya berdiri gah sebagai studio fotografi yang dibangunkan oleh jurufoto wanita dalam industri yang biasanya dikuasai oleh lelaki.

“Kelebihan yang terdapat di Ladiesfoto Studio ialah barisan jurufoto wanita dan pereka grafik, sesuai untuk wanita yang mementingkan privasi dan menjaga aurat. Kami tidak berniat untuk bersaing, tetapi lebih gemar bergerak secara berkumpulan atau berjemaah yang melengkapi antara satu sama lain.

“Misalnya, kami ada komuniti WhatsApp yang mengumpulkan penggiat industri atau mereka yang berkaitan seperti jurusolek. Jadi, jika ada sebarang projek yang antara kami tidak dapat jayakan, kami akan menawarkannya kepada jurufoto lain, begitu juga sebaliknya.

“Dengan cara ini, rangkaian kami semakin berkembang dan kerjasama dijalin dapat memberi kelebihan kepada kami,” katanya.

Sebagai ibu, tentunya mahu anak kecil membesar di depan mata. Justeru, pembukaan studio itu turut memberi kelebihan kepada Huda untuk menjaga anaknya, Nawfal Firas Faizal yang berusia 19 bulan di tempat kerja jika tidak memerlukannya bertugas di luar.

Menurut Huda, dia memulakan langkah sebagai jurufoto bebas yang gemar mengambil gambar terutama ketika melancong.

Katanya, banyak keunikan dari segi gaya hidup, geografi, seni bina, dan budaya masyarakat negara lain yang boleh dipelajari dan dari situ dia praktikkan dalam mengilhamkan idea dan kreativiti bersama pelanggan untuk mendapatkan pelbagai gambar yang menarik.

“Sebenarnya, saya bermula daripada kosong dan tiada asas langsung mengenai perniagaan. Saya seorang yang sukakan fotografi. Namun disebabkan minat, saya belajar secara perlahan-lahan cara mengurus perniagaan dan menambah baik perkhidmatan untuk memenuhi cita rasa pelanggan masa kini,” katanya.

“Tidak dinafikan semakin ramai yang bergiat aktif dalam industri ini, namun saya memandang persaingan itu sebagai sesuatu yang positif. Walaupun saya tahu mengenai risiko yang akan ditanggung dalam perniagaan, diri perlu berani dan yakin, apatah lagi dengan persaingan yang mencabar hari ini. Sebenarnya tidak susah sekiranya kita bergerak secara berkumpulan yang mempunyai matlamat yang sama,” katanya.

Bagi mengukuhkan perniagaannya, Huda menubuhkan syarikat The Fabolez Sdn Bhd pada Mei lalu bagi menyatukan Ladiesfoto Studio yang aktif dalam bidang fotografi dan Fabolez Production yang mahir dalam bidang videografi di bawah satu bumbung.

Dalam masa terdekat katanya, The Fabolez Sdn Bhd juga akan melancarkan cabang perniagaan baru iaitu Sewa Gadget. Objektif utama pelancaran Sewa Gadget adalah untuk membantu penggiat baru dalam dunia fotografi dan videografi menghasilkan karya seni yang optimun tanpa memerlukan modal permulaan yang banyak dengan menyewa peralatan syarikat itu.

Bagi Huda, dia perlu berani dan fokus selain bijak mencari idea baru bagi memastikan perniagaannya mampu bertahan serta bersaing secara sihat dengan syarikat lain.

Anak jati Kuantan, Pahang ini turut menyimpan keinginan membuka cawangan perniagaan di beberapa negeri. Hasil karya dan maklumat lanjut mengenai studio itu boleh didapati di Instagram Ladiesfoto dan Facebook Ladiesfoto Studio.

Sumber; Harian Metro

*********************

Huda, merupakan isteri kepada salah seorang kenalan Kay Hisham sewaktu Program Intensif Perniagaan Internet & Strategi Media Sosial (Irfan Khairi Sdn Bhd). 

Untuk maklumat Lanjut Tentang Ladies Foto, boleh layari di FB LadiesFotoStudio

image

 

 


 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *